TABIKA KEMAS Pintar STREAM

REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Secara umumnya, Industri 4.0 pertama bermula di Jerman pada tahun 2011 semasa pameran teknologi industri dan perdagangan terbesar di Jerman.  Pada akhir 2013, Revolusi Industri 4.0 (Industrial Revolution 4.0 atau IR4.0) muncul dan merupakan kesinambungan daripada peningkatan automosi beserta rangkaian Internet dan proses-proses fizikal lain. Teknologi baru tersebut termasuklah automasi, simulasi, analisis dan big data, penggunaan robotik, cloud dan Internet of Things (IoT).

Menurut Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Malaysia semasa Kolokium Pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) 2018, terdapat 13 kemahiran yang diperlukan oleh industri pekerjaan dalam menempuh era IR4.0. Antara kemahiran yang paling penting adalah kemahiran belajar melalui pengalaman, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Hal ini menjelaskan bahawa kemahiran komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kerjasama merupakan kemahiran yang perlu dipupuk dalam diri kanak-kanak hari ini.

Dalam konteks Malaysia, STEM merujuk kepada dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar. Forum Ekonomi Dunia melalui The Future of Job Report Tahun 2016, Academy of Science Malaysia (ASM), Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) menjelaskan pada masa akan datang, bidang pekerjaan berkaitan dengan STEM merupakan keperluan dengan anggaran keperluan pekerjaan berjumlah satu (1) juta menjelang 2020.

TABIKA KEMAS Al-Ghazale, Chabau, Melaka dijenamakan sebagai TABIKA KEMAS Pintar STREAM yang bertemakan pendidikan “Aviation Model”

STEM KEPADA STREAM

Fenomena Revolusi Industri 4.0 turut memberi memberi tempias kepada KEMAS yang mana persediaan yang rapi perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian Pendidikan Awal Kanak-Kanak di KEMAS terus releven serta seiring dengan hasrat Kerajaan melahirkan modal insan berkemahiran digital bagi berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0.

Untuk itu, KEMAS telah mengambil inisiatif memperluaskan bidang STEM kepada STREAM, di mana bidang seni (art) serta nilai murni (religion) turut diintegrasikan dalam Sains, Teknologi, Engineering (Kejuruteraan) dan Matematik (STEM) supaya melalui estetika dan kreativiti, minat kanak-kanak terhadap bidang STEM dapat dipupuk dengan lebih mudah. Nilai murni seperti kasih sayang, baik hati dan bekerjasama turut dijadikan sebahagian daripada STEM kerana nilai adalah asas kepada kemenjadian kanak-kanak di masa akan datang.

Susulan daripada itu, KEMAS telah membangunkan Modul e-STREAM TABIKA KEMAS dengan kerjasama pakar-pakar dari bidang pendidikan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Competency in Early Childhood Education (CECD Group – CACHE UK) dan Pertubuhan Sekolah Belantara.

3 OBJEKTIF UTAMA

Dalam usaha menarik minat kanak-kanak terhadap bidang STREAM ini, KEMAS juga telah mewujudkan e-STREAM, iaitu satu aplikasi yang boleh digunakan oleh Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih interaktif.

Tiga (3) objektif utama KEMAS komited dalam memperkenalkan STREAM adalah:

  1. Menarik minat kanak-kanak terhadap bidang berkaitan STREAM terutamanya Tunjang Sains dan Teknologi;
  2. Sebagai panduan kepada Pemaju Masyarakat untuk merangka proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) Pendidikan STREAM dengan lebih berkesan; dan
  3. Sejajar dengan hala tuju pendidikan arus perdana yang menekankan konsep 4K (komunikasi, kolaboratif, kerjasama dan pemikiran kritis).

TABIKA RINTIS

TABIKA Rintis bagi Program STREAM ini bermula di TABIKA KEMAS Al-Ghazale, Chabau, Melaka yang dijenamakan sebagai TABIKA KEMAS Pintar STREAM yang bertemakan pendidikan “Aviation Model”. Struktur bangunan TABIKA KEMAS ini seakan-akan bentuk pesawat yang mempunyai ruang kokpit dalam pesawat di ruang pembelajaran dalam TABIKA dan Pusat Menara Kawalan seakan-akan berada di lapangan terbang di perkarangan TABIKA ini. Pelancaran TABIKA Rintis bagi Program STREAM TABIKA KEMAS ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 11 Oktober 2018.

MEMANDANG KE HADAPAN

Program STREAM ini akan diperluaskan di TABIKA KEMAS seluruh Malaysia menjelang 2023 dengan kerjasama pakar akademik atau pihak industri berkaitan supaya program ini lebih bersifat inklusif. Modul Pembelajaran STREAM juga akan dikreatifkan dan ditambah baik dengan pelbagai tema seperti Agrotechpreneur, Eco Education, Geoscience, Aquatic Science, Medical Science, Aerospace, Oil & Gas, Automotive, Robotic, Astronomy, Marine dan Safety (army) sebagai perancangan jangka panjang dalam tempoh lima (5) tahun.

Mulai tahun 2019, 14 buah TABIKA KEMAS Pintar STREAM (1 Negeri/ 1 TABIKA KEMAS) akan diwujudkan mengikut tema yang ditentukan dan ianya akan turut akan diperluaskan lagi dari masa ke semasa kepada TABIKA yang lain. Kerjasama pintar bersama sektor korporat dan swasta akan dipergiatkan pada masa akan datang, khususnya dalam bidang berkaitan STREAM untuk membangunkan sendiri modul pembelajaran di TABIKA KEMAS pada masa akan datang.

STREAM TABIKA KEMAS melalui pendekatan “belajar sambil bermain” yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS