Perutusan Hari Pendidik Kemas Tahun 2019 dari Ketua Pengarah KEMAS

PERUTUSAN HARI PENDIDIK KEMAS TAHUN 2019

KETUA PENGARAH KEMAS

Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Luar Bandar Sejahtera

Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik KEMAS yang dikasihi sekalian,

“Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”. Itulah tema Sambutan Hari Guru atau pendidik pada tahun in. Sebenarnya diambil dari sebuah sajak oleh Sasterwan Negara iaitu Dato’ Seri Abdul Samad bin Mohamed Said, atau lebih dikenali sebagai A.Samad Said. Obor itu membayangkan lilin. Obor itu sebagai penyuluh. Hemah itu bermakna sopan santun peribadi guru. Menyinari pertiwi itu, tanah tumpah darah negara kita, negara kita, negeri kita.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Pendidik kepada 14,816 orang anggota KEMAS yang meliputi bidang pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran serta kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya, jasa anda warga Pendidik KEMAS yang begitu besar, budi yang ditabur serta khidmat bakti kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan wang ringgit. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

Hari Pendidik KEMAS yang disambut setiap tahun ini merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga pendidik yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat dari segala dasar, polisi dan inisiatif dari kerajaan.

Warga Pendidik KEMAS bukan sahaja sentiasa berusaha menyediakan kualiti pendidikan prasekolah yang terbaik, malah telah menyediakan kemahiran kepada masyarakat dengan hasrat ianya akan membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui keusahawanan dan perniagaan. Mulianya tugas dan peranan anda sebagai seorang pendidik kerana melalui hasil didikan dan ajaran itulah lahirnya insan yang berpendidikan, berpengetahuan dan berkemahiran.

Saya percaya kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi pada hari ini turut disumbangkan dari ajaran dan didikan sepanjang hayat yang anda telah berikan kepada masyarakat keseluruhannya. Oleh itu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga KEMAS di atas kejayaan yang dikecapi sehingga ke hari ini.

Selamat Hari Pendidik!

Sekian.

Wabillahitawfiq wal hidayah,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

DATO’ AMIRUDDIN BIN ARIFFIN

KETUA PENGARAH

JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS)

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR