TABIKA KEMAS Pintar STREAM – Robotik Dilancar

Kuala Lumpur – “Malaysia hari ini adalah antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi Industri 4.0. Salah satu teras utama dalam revolusi ini adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau A.I yang mana manusia akan semakin bergantung kepada robot pada masa akan datang”. YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian semasa Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertemakan Robotik di TABIKA KEMAS Keramat Nur pada 2 Julai 2019.

Ucaptama oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar di Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertempat di TABIKA KEMAS Keramat Nur, Kuala Lumpur

Dalam usaha menarik minat kanak-kanak terhadap bidang STREAM ini, aplikasi e-STREAM diwujudkan bagi membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS (guru TABIKA) melaksanakan proses pembelajaran dengan lebih interaktif. Ia adalah satu aktiviti pembelajaran yang memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

Teknologi Robotik berupaya melaksanakan kerja yang sama seperti manusia lakukan dalam pelbagai sektor dengan mengurangkan kadar human error bagi memastikan produk yang terhasil adalah yang berkualiti. Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu disediakan dengan perubahan teknologi supaya seiring dengan keperluan semasa.

YB Datuk Seri Rina dalam ucapan beliau berkata, “Perlu untuk kita lebih bersedia dalam menyediakan kanak-kanak kita agar dapat menempuhi dugaan dan cabaran dunia global akan datang. Jika sekarang pun, masyarakat sukar mencari peluang pekerjaan sekiranya tidak memiliki kemahiran, apatah lagi masa depan yang menggunakan strategi luar biasa termasuk penggunaan robotik terutama bagi industri seperti perkilangan dan pertanian.”

 

Tambah beliau lagi, “Personel pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS khususnya perlu disiapkan dengan kemahiran pedagogi terkini yang seiring dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan pendidikan abad ke-21 ini. Pemaju Masyarakat KEMAS berdepan dengan cabaran dari aspek kompetensi dan kesediaan mereka dalam memastikan kanak-kanak hari ini mampu berdepan dengan cabaran mendatang.”

Melalui program STREAM ini, pendidikan yang diketengahkan lebih menjurus kepada pendekatan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif, kreatif, pemikiran kritis dan komunikasi. Ini selaras dengan konteks pendidikan negara kita iaitu Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).

‘Vaccum Ku’ – Kanak-kanak akan meneroka & membuat pemerhatian fungsi pelbagai jenis penyedut hampagas (merekod pemerhatian)

Aspek kreativiti & inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

 

Tema TABIKA KEMAS Pintar STREAM mengikut negeri:

  1. Sarawak – Oil & Gas
  2. Sabah – Marine
  3. Perlis – Agrotechpreneur
  4. Kedah – Eco Education
  5. Pulau Pinang – Aquatic Science
  6. Perak – Aerospace
  7. Kuala Lumpur – Robotic
  8. Selangor – Automotive
  9. Melaka – Aviation
  10. Negeri Sembilan – Safety (Army)
  11. Johor – Astronomy
  12. Pahang – Medical Science
  13. Terengganu – Oil & Gas (Onshore)
  14. Kelantan – Geoscience

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS