Integriti Dalam Kehidupan

Perbendaharaan kata integriti pada asalnya bukanlah merujuk kepada konsep yang ada hubung kaitnya dengan kehidupan manusia. Menurut Oxford English Dictionary, perkataan ini yang berakar umbi daripada kata adjektif bahasa Latin ‘integer’ diguna pakai asalnya untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan (structural integrity). Hanya pada 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia.

Pelbagai definisi integriti mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu. Selain itu, integriti turut ditakrifkan sebagai tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan tingkah laku (perkataan atau perbuatan) yang ditunjukkannya.

Individu yang berintegriti akan tetap mematuhi peraturan walaupun di kala lampu merah menyala dan tiada sesiapa di situ kecuali diri anda sendiri pada jam 2 pagi. Ini kerana takrif integriti memerlukan individu bertingkah laku berdasarkan prinsip moral dan nilai-nilai etika, tanpa mengambil kira sama ada dilihat ataupun tidak. Justeru, untuk menjadi manusia yang berintegriti memerlukan seseorang individu itu menjadi manusia yang bermoral dan beretika dalam semua aspek kehidupan pada setiap masa.

Individu yang berintegriti akan tetap mematuhi peraturan walaupun di kala lampu merah menyala & tiada sesiapa di situ kecuali diri anda sendiri pada jam 2 pagi.

Dalam aspek tadbir urus dan pentadbiran organisasi misalnya, keruntuhan integriti menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah. Tidak kira sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta, pemegang jawatan ataupun pekerja yang tidak memiliki integriti diri yang tinggi akan sentiasa mencari peluang untuk melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi, tanpa memikirkan implikasi perbuatan mereka terhadap imej organisasi dan negara.

Ketirisan maklumat organisasi dan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan indeks persepsi antarabangsa terhadap kemampuan negara membendung amalan korupsi merupakan contoh implikasi negatif yang didorong oleh perbuatan warga kerja yang tidak berintegriti.

Dalam aspek pendidikan pula, tindakan oleh individu-individu tidak berintegriti boleh mencemar kesucian bidang yang sangat penting untuk membangunkan modal insan negara ini. Perbuatan-perbuatan seperti melakukan plagiat, memanipulasi kelayakan akademik, dan sebagainya bukan sahaja akan menjejaskan reputasi si pelakunya, tetapi juga boleh mengakibatkan kualiti sistem pendidikan negara di semua peringkat dipertikaikan secara keseluruhan.

Natijahnya, persekitaran pendidikan yang seharusnya merupakan lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara, hari ini turut dinodai oleh perbuatan golongan individu tertentu yang tidak berintegriti.

Dalam konteks kepimpinan pula, integriti menjadi teras yang sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada keberkesanan barisan kepimpinan semasa dalam apa jua situasi. Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu ‘bersih’, tetapi juga perlu kelihatan ‘bersih’ pada sebilang masa.

Dalam sejarah peradaban manusia, terlalu banyak contoh yang menunjukkan kejatuhan pemimpin yang tidak berintegriti atau yang terpalit dengan isu dan skandal yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tuntasnya, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut dipertikaikan. Pada masa sama, dilema yang dihadapi oleh para pengikut adalah sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin yang memiliki integriti diri yang meragukan.

Kesimpulannya, membentuk diri untuk menjadi seorang individu yang berintegriti bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan yang cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu-individu di bawah tanggungjawab masing-masing.

Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein;

“…integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful…”

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara Malaysia akan sentiasa ditunjangi oleh ahli-ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi, insya-Allah.

Sumber: Utusan Online | Rencana | 27 Disember 2016

Oleh: LT. KDR. (B) Dr. Abu Yazid Abu Bakar, beliau ialah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Jabatan Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)