TABIKA KEMAS Pintar Botani Beri Manfaat Besar Kepada Kanak-Kanak
Terdapat banyak kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat aktif dalam program dan aktiviti sosial di luar kelas seperti bertani atau berkebun akan cenderung untuk mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik. Penglibatan tersebut juga adalah faktor yang menyumbang kepada suasana pembelajaran yang lebih baik di sekolah, kanak-kanak mempunyai keupayaan sosial serta emosi yang unggul dan mempunyai sikap yang lebih mesra alam sekitar. Masa yang dihabiskan di luar kelas juga dapat membantu dalam pembentukan pemikiran yang kreatif, keyakinan diri dan menghakis sifat kekitaan.
Malah, secara praktikalnya, kebun atau taman botani di sekolah merupakan ‘makmal’ pembelajaran yang mempunyai pelbagai cabang ilmu dan kemahiran yang bermanfaat kepada kanak-kanak.
Dari sudut pemakanan pula, TABIKA atau sekolah yang menjadikan menu masakan mereka daripada hasil tanaman mereka sendiri dapat menjamin pemakanan yang sihat kepada kanak-kanak. Dalam pada itu juga, kanak-kanak yang menanam sayur-sayuran dan buah-buahan mereka sendiri lebih cenderung untuk menyukai makan buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut.
Penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti pertanian di luar kelas juga dapat memberikan kestabilan emosi dan mental daripada hanya tertumpu kepada pembelajaran di dalam kelas sahaja. Kanak-kanak akan mempunyai perasaan yang lebih tenang, seronok dan mudah berhubung dengan rakan sebaya dan guru mereka semasa aktiviti berkebun.
Berkebun dapat membantu kanak-kanak membentuk nilai kemasyarakatan dan sifat bertanggungjawab serta sifat bekerjasama, baik di sekolah mahupun dengan komuniti yang lebih luas. Pendedahan awal terhadap aktiviti bertani atau berkebun kepada kanak-kanak akan memupuk perasaan cintakan alam semulajadi, meningkatkan kesedaran dan sikap lebih prihatin terhadap pentingnya memelihara alam sekitar, ekologi dan perhubungan dengan alam sekitar mereka.
Justeru, Program TABIKA KEMAS Pintar Botani yang sebelum ini dikenali sebagai Program Kebun Dapur TABIKA KEMAS merupakan sebuah platform untuk menggalakkan pelaksanaan aktiviti pertanian di TABIKA KEMAS secara berterusan, menggalakkan aktiviti pengajaran serta pembelajaran di luar kelas dengan menggunakan kebun atau taman botani, memperkenalkan sayur-sayuran serta buah-buahan kepada kanak-kanak sejak awal dan memberi penghargaan kepada TABIKA KEMAS, Jawatankuasa TABIKA dan ibu bapa yang turut terlibat membantu dalam melaksanakan aktiviti pertanian di TABIKA KEMAS untuk anak-anak mereka.
Program di bawah kelolaan Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, KEMAS Ibu Pejabat ini dijadikan sebagai pertandingan tahunan yang bermula dengan pertandingan TABIKA KEMAS yang mempunyai kebun atau taman botani yang terbaik dari setiap KEMAS Negeri dan seterusnya akan mewakili negeri masing-masing untuk bertanding ke peringkat kebangsaan. Penilaian yang dilakukan tidak hanya tertumpu kepada Kreativiti Hiasan, Kesesuaian Susunatur, Keselamatan dan Kebersihan sahaja, malah Aktiviti Pengajaran & Pemudahcaraan (PdPc) Kanak-Kanak, Penglibatan, Penjimatan Kos/Peningkatan Pendapatan, Pendidikan Pemakanan dan Amalan Kebersihan di TABIKA KEMAS juga sangat dititikberatkan.
Melalui pertandingan ini diharapkan ianya dapat menggalakkan TABIKA KEMAS melaksanakan aktiviti pintar botani sepanjang tahun, menggalakkan TABIKA KEMAS melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar kelas dengan menggunakan kebun atau taman botani dan menggalakkan kanak-kanak di setiap TABIKA KEMAS untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat sejak dari kecil.
TABIKA KEMAS yang pernah menjuarai pertandingan TABIKA KEMAS Pintar Botani:
- Tahun 2016 – TABIKA KEMAS Kampung Pertanian, Kulaijaya, Johor.
- Tahun 2017 – TABIKA KEMAS Seri Utama, Kg. Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor.
- Tahun 2018 – TABIKA KEMAS FELDA Chini 3, Pekan, Pahang.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS