Program Diploma Perguruan Malaysia Tingkatkan Profesionalime Guru KEMAS

SERDANG – Program pendidikan awal kanak-kanak telah menjadi teras utama dalam agenda pembangunan masyarakat oleh KEMAS disamping program dan aktiviti KEMAS yang lain. Oleh itu, KEMAS terus komited dalam memberi tumpuan yang sewajarnya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan tahap profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA.

Peningkatan tahap profesionalisme dan pemerkasaan Pemaju Masyarakat (guru) KEMAS sama ada TABIKA atau TASKA melalui latihan dalam perkhidmatan yang dilaksanakan secara berterusan akan dapat meningkatkan kompetensi dan kerjaya Pemaju Masyarakat sekaligus dapat melonjakkan usaha kerajaan ke arah kemajuan negara. Lebih dari itu, ianya bertujuan untuk memastikan kualiti sistem penyampaian pendidikan awal kanak-kanak terus berada dalam keadaan yang terbaik dan Pemaju Masyarakat akan terus diberikan dorongan dan motivasi agar dapat memberikan khidmat yang cemerlang dan berprestasi tinggi.

Bermula dari tahun 2006, KEMAS melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan Profesional telah melaksanakan Program Peningkatan Profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dikalangan guru-guru TABIKA dan TASKA KEMAS setaraf diploma yang diiktiraf sama ada melalui Institut Perguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pengajian Tinggi Awam selaras dengan dasar kerajaan iaitu semua guru-guru prasekolah perlu mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2020.

Bagi tujuan itu, KEMAS telah mengadakan kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi melaksanakan Program Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti (KDC). Sehingga kini terdapat seramai 4,250 orang graduan KEMAS telah berjaya menamatkan pengajian manakala seramai 109 orang masih lagi dalam pengajian di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru yang terlibat.

Sebahagian graduan-graduan KEMAS di Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10

Pada 22 Ogos 2019 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-10 Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) bagi pengambilan tahun 2015. Majlis telah diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Majlis Konvokesyen tersebut telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar & Pembangunan Pendidikan).

Dr. Habibah dalam ucapan berkata, “Pemaju Masyarakat perlu sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran yang luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada kanak-kanak agar dapat meningkatkan potensi kanak-kanak untuk mencipta ilmu dan inovasi bertaraf dunia. Segala yang dipelajari hendaklah diamalkan dengan sebaik-baiknya dan mengambil tanggungjawab sebagai pendidik dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan menjadi penghubung antara jabatan dengan masyarakat khususnya ibu bapa dan masyarakat luar bandar amnya.”

Seramai 56 orang pelajar KEMAS yang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti ambilan November 2015 telah berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan Diploma Perguruan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada majlis tersebut.

Oleh: Bahagian Latihan & Pembangunan Profesional KEMAS