Hari Potensi KEMAS
Program Hari Potensi KEMAS merupakan acara tahunan dan dijadikan sebagai aktiviti kokurikulum TABIKA yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di TABIKA KEMAS seluruh Malaysia. Ianya merupakan satu pertandingan bermula di peringkat daerah/parlimen/zon, kemudian ke peringkat negeri dan seterusnya akan mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan.
Tujuan utamanya adalah untuk mencungkil bakat, memupuk nilai-nilai murni, membentuk keyakinan diri, memberikan kecergasan mental dan ketangkasan fizikal, mengembangkan minat, kreativiti dan estetika serta menghargai warisan budaya di kalangan kanak-kanak prasekolah selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Objektif:
- Menggalak dan mengembangkan bakat, kebolehan, minat, kreativiti dan nilai estetika serta penguasaan pelbagai elemen kemahiran kanak-kanak;
- Memupuk dan mengukuhkan nilai-nilai murni, keyakinan diri, kecergasan mental dan fizikal, sikap bertolak ansur, kerja berpasukan serta menghargai warisan budaya dalam diri kanak-kanak;
- Menyediakan ruang kepada ibu bapa/penjaga dan masyarakat untuk melihat dan kenalpasti potensi serta perkembangan diri kanak-kanak dari aspek sosio-emosi, fizikal, intelek dan rohani (SEFIR) kanak-kanak;
- Mewujud dan meningkatkan semangat serta hubungan kerjasama sosial antara TABIKA dengan jawatankuasa aktiviti, ibu bapa/penjaga, pemimpin tempatan, NGO dan pelbagai agensi kerjaan serta masyarakat; dan
- Memberi penghargaan kepada kanak-kanak yang cemerlang, Pemaju Masyarakat yang inovatif dan Jawatankuasa TABIKA/TASKA.
Mulai Rancangan Malaysia Ke-9, Hari Potensi dilaksanakan secara tahunan yang melibatkan acara bakat dan acara sukan secara giliran pada setiap tahun. Acara bakat telah dilaksanakan pada tahun 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018. Manakala, acara sukan pula pada tahun 2007, 2009, 2011, 2013, 2015 dan 2017. Bersama-sama program ini juga turut diadakan penyampaian anugerah bagi kanak-kanak yang cemerlang dan anugerah kepada Pemaju Masyarakat TABIKA serta TASKA yang inovatif dalam kategori Bahan Bantu Mengajar dan Multimedia Kreatif.
Acara Bakat:
- Boneka Tangan
- Bercerita
- Story Telling
- Rekacipta
- Tilawah & Terjemahan
- Pidato
- Nasyid
- Tarian
- Kompang Berformasi
Acara Sukan:
- Futsal
- Bola jaring
- Rounders
- Formula One
- Sprint Hurdles (Lari Berhalangan)
- Gerak Kreatif
Pendidikan awal kanak-kanak yang disediakan oleh KEMAS tidak hanya tertumpu kepada penguasaan kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul semata-mata, akan tetapi tumpuan juga turut diberikan kepada pertumbuhan kanak-kanak yang seharusnya juga dikembangkan lagi dengan pelbagai potensi dan membekalkan mereka dengan pembinaan sahsiah peribadi melalui penyediaan ruang untuk menggilap potensi terutama dalam kemahiran dan kebolehan yang kanak-kanak digemari.
Oleh yang demikian, melalui platform dan pendekatan program ini, hasilnya kanak-kanak bukan sahaja bersedia dan mampu menghadapi cabaran globalisasi, ianya juga dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, berjiwa kental, mempunyai jati diri yang kukuh, lebih dari itu mereka juga mampu mengekalkan negara yang aman, sejahtera dan harmoni.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS