Islam & Anak Perempuan
Suatu ketika dahulu, kehidupan bangsa Arab jahiliah sebelum perutusan Nabi Muhammad S.A.W menyaksikan wanita bukan sahaja dinafikan hak, bahkan dipandang sebagai punca kepada aib, dianggap mendatangkan sial dan penyebab kepada kemiskinan hingga anak perempuan ditanam hidup-hidup.
Perkara ini Allah S.W.T rakamkan di dalam al-Quran melalui firman-Nya: “Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) mukanya dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang banyak disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” (Surah An-Nahl: Ayat 58).
ISLAM MENGANGKAT MARTABAT
Selepas Nabi Muhammad S.A.W diutuskan sebagai Rasul dan Islam diturunkan, kedudukan wanita semakin baik malah konsep berbuat baik terhadap anak perempuan sangat ditekankan oleh Baginda.
Daripada Anas Ibnu Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang memelihara dua anak perempuan hingga dewasa maka dia akan datang pada Hari Kiamat bersamaku.” (H.R Muslim).
Malah kisah menarik turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari, iaitu Saidatina A’isyah R.A menceritakan seorang wanita datang ke rumahnya dengan dua anak perempuan, lalu meminta makanan daripadanya tetapi ketika itu, Ummu Mukminin berkenaan mendapati tiada apa yang boleh diberikan melainkan sebiji kurma.
A’isyah R.A pun memberikan kurma itu, lalu wanita berkenaan membelah kurmanya kepada dua bahagian untuk diberikan kepada dua anak perempuan terbabit. Peristiwa itu diceritakan kepada Rasulullah S.A.W yang kemudian bersabda: “Sesungguhnya Allah menetapkan baginya syurga dan membebaskannya daripada neraka.”
BERI RAHMAT DAN KELEBIHAN
Keprihatinan Islam terhadap anak perempuan dan hakikat agama ini yang mengangkat darjat wanita turut terserlah seperti sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah S.W.T akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan Rahmat-Nya untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Rasulullah S.A.W, “Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah S.A.W menjawab, “Juga untuk seorang.” (H.R Ahmad & Al-Hakim)
Bahkan terdapat juga hadis yang menceritakan bersamanya tentang kelebihan memelihara saudara perempuan.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah S.W.T akan memasukkan mereka ke syurga.” (H.R Al-Bukhari).
Daripada A’isyah R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (H.R Bukhari, Muslim & at-Tirmizi).
Malah Rasulullah S.A.W juga memiliki anak perempuan, iaitu Zainab R.A, Ruqayyah R.A, Ummu Kalthum R.A dan Fatimah az-Zahra R.A.
TIP-TIP MEMBIMBING ANAK:
- Lebihkan perbincangan berbanding arahan – perbincangan akan merangsang mereka berfikir secara matang.
- Hormati pendapat mereka walaupun anda tidak bersetuju.
- Cuba fahami situasi mereka dengan jujur dan ikhlas, tanpa ego.
- Dengar dahulu penjelasan anak sepenuhnya dan elakkan daripada menjatuhkan hukuman melulu.
- Selalu yakin dan menyokong keputusan mereka. Ketahui bahawa remaja mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi.
- Galakkan anak remaja mencuba pelbagai aktiviti selagi tidak melanggar batasan.
- Teladani Rasulullah S.A.W. Baginda menyeru ibu bapa untuk berkawan dengan anak-anak berumur 15 hingga 21 tahun.
- Sentiasa berlembut dan bermuzakarah dalam segala hal.
- Elakkan daripada mengenakan disiplin keras dan ketat kerana umur sebegini memerlukan belaian emosi dan sokongan ibu bapa.
- Berbicara mengenai ilmu seksual dari sudut spiritualiti dan praktikkan sepenuhnya tuntutan syarak seperti akil baligh, aurat dan pergaulan.
- Ajak anak-anak menghadiri majlis dan program ilmu.
- Wujudkan suasana ‘Rumahku, Syurgaku’.
- Berani untuk berbicara mengenai ilmu kesihatan seksual dengan anak remaja.
- Memberi ilmu dan panduan untuk memilih kawan yang baik.
Sumber: Utusan Malaysia Online