Wanita Inspirasiku (WINS)

Golongan wanita berperanan penting dalam memastikan kesejahteraan kehidupan sesebuah keluarga dan masyarakat memandangkan mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat. Menyedari pelbagai peranan wanita di dalam keluarga, masyarakat, ekonomi malahan politik, pelbagai usaha dan strategi telah dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan (Dasar Wanita Negara, 1989).

YB Datuk Seri Rina menyampaikan anugerah kepada Puan Nor Azizah binti Amri yang telah dipilih sebagai Ikon Usahawan KEMAS Tahun 2019

Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita kini boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu. Perkembangan ini adalah penting kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara, ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain.

Wanita sendiri harus mengubah paradigma untuk melihat bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf lelaki dalam banyak keadaan. Dalam lembaran sejarah Islam, ketokohan Saidatina Khadijah R.A sebagai tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya menjadi inspirasi wanita dan lelaki. Tidak kurang juga ketokohan A’isyah R.A sebagai ilmuan dan pakar rujuk kepada para sahabat R.A telah membuktikan bahawa Islam mengiktiraf serta meletakkan wanita pada tempat yang tinggi.

Faktor kepada peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta perubahan sosio budaya dalam kalangan masyarakat telah membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembinaan negara. Ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan kerajaan yang sentiasa mengambil berat tentang isu dan kepentingan wanita serta mengiktiraf wanita selaku ‘rakan’ kepada kemajuan dan  pembangunan negara.

Di Malaysia khususnya, kerajaan telah mengiktiraf peranan golongan wanita di dalam pembangunan ekonomi melalui penyediaan peluang dan ruang untuk mempertingkatkan pencapaian mereka untuk berperanan dalam proses pembangunan ekonomi (Moha, 1997). Malahan, ia juga dilakukan melalui peningkatan taraf pendidikan dan latihan yang diberikan kepada golongan wanita dalam usaha kesaksamaan jantina (Motik, 2009).

WANITA INSPIRASIKU (WINS)

Program Wanita Inspirasiku adalah sebuah program baharu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di bawah kelolaan Bahagian Pendidikan Kemahiran bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat sama ada dari sudut kemahiran kendiri, ilmu pengetahuan, penglibatan dan peluang dari aspek keusahawanan, kesihatan dan sosial yang seimbang. Selain itu juga, objektif program ini adalah bagi memperkasakan peranan wanita dan memberi peluang kepada kumpulan sasar seperti belia, ibu tunggal, suri rumah dan beliawanis untuk berkongsi pandangan, pengalaman secara langsung dengan usahawanita dan tokoh yang berjaya.

WACANA ILMU

Dalam program WINS ini, melalui platform Wacana Ilmu para peserta akan disajikan dengan perkongsian ilmu serta pengetahuan oleh tokoh-tokoh dan ikon yang berjaya terdiri dari pelbagai bidang atau kepakaran antaranya seperti keusahawanan, kekeluargaan, pendidikan, kesihatan dan perundangan. Perkongsian secara langsung sebegini tentunya akan memberikan kesan segera, kepuasan dan inspirasi kerana para peserta boleh mendengar dan bertanya sendiri kepada tokoh dan ikon yang terlibat yang akan menjadi pemangkin dan semangat kepada para peserta untuk turut serta maju dan berjaya seperti tokoh dan ikon yang terlibat.

Melalui platform Wacana Ilmu para peserta akan disajikan dengan perkongsian ilmu serta pengetahuan oleh tokoh-tokoh dan ikon yang berjaya terdiri dari pelbagai bidang

PELANCARAN PROGRAM WINS

Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 27 April 2019 bertempat di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang mana telah berjaya menarik minat seramai 1,000 orang peserta khususnya wanita untuk hadir dalam diskusi ilmiah yang melibatkan selebriti terkenal tanahair yang bergelar usahawan serta pakar motivasi terkemuka dalam bidang kekeluargaan.

Program WINS ini diperkenalkan kepada masyarakat sebagai kesinambungan kepada Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah Teras 5: Memperkasa Wanita Luar Bandar.

Terdapat tiga (3) strategi digariskan iaitu:

  1. Strategi 1 – Mengoptimumkan kapasiti & kadar guna tenaga wanita;
  2. Strategi 2 – Melaksanakan program pembangunan mesra wanita & OKU; dan
  3. Strategi 3 – Meningkatkan penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan di peringkat komuniti.

Program WINS ini juga dilaksanakan di seluruh negeri pada tahun 2019 melibatkan sebanyak 50 siri program dengan sasaran seramai 8,000 orang wanita akan menyertai wacana ilmu seperti ini. Sehingga Januari 2019, peratus usahawan wanita yang telah berdaftar dengan KPLB adalah sebanyak 47.59% atau seramai 14,037 orang usahawan wanita dan akan terus meningkat dari masa ke semasa. Program-program yang dirangka dan dilaksanakan oleh agensi-agensi dan Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KPLB adalah antara yang utamanya adalah untuk meningkatkan sumber pendapatan isi rumah, memperkasa peranan wanita dalam bidang keusahawanan dan juga meletakkan wanita sebagai golongan penting dalam pengurusan dan membuat keputusan dalam masyarakat.

PROGRAM-PROGRAM BERKAITAN

Dalam usaha untuk memperkasakan lagi peranan wanita dan kumpulan sasar, KEMAS turut menyediakan program-program lain yang berkaitan bertujuan untuk meningkatkan sumber pendapatan isi rumah, mempertingkatkan kemahiran serta pengetahuan dan menyediakan peluang serta pengiktirafan seperti:

  1. Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) – Meliputi bidang jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan komputer;
  2. Program TVET (Technical & Vocational Education & Training) – Dilaksanakan oleh KEMAS iaitu program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) secara sepenuh masa dan SKM Secara Pencapaian Pentauliahan Terdahulu (PPT); dan
  3. Quick Win KEMAS – Kursus kemahiran jangka pendek yang memberi kesan segera kepada peserta dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan komputer. Peserta akan dibekalkan peralatan ‘tool kit’ sebagai platform untuk mengoptimumkan penghasilan produk seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

PUSAT BERTAULIAH KEMAS

KEMAS turut menyediakan pusat-pusat bertauliah kepada kumpulan sasar membangunkan diri dan kerjaya melalui sijil yang diiktiraf setanding dengan kerjaya berasaskan kelayakan akademik. Ianya bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang terlatih dan berkelayakan untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan melalui program penambahan pendapatan.

Pengajian dan latihan dijalankan sepenuh masa di pusat bertauliah KEMAS selama 6 bulan hingga 2 tahun mengikut tahap yang dipilih.

PUSAT BERTAULIAH

BIDANG

Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar (AKKSI), Perak Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Pembuat Pakaian Wanita Tahap 2, 3 dan 4

Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DKM)

Pengurusan Fesyen dan Pakaian Tahap 5

Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng (AKKG), Perak Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

i) Penyediaan Makanan Tahap 2 dan 3

ii) Pembuat Pakaian Lelaki Tahap 1, 2 dan 3

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS