KEMAS Talk 2019


Platform terbaik perkongsian ilmu dari pakar-pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak terkemuka di Malaysia.

Mengupas isu dan cabaran yang dihadapi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak selari dengan Pembelajaran Abad ke-21.

KEMAS Negeri Johor Rangkul Johan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif 2019

Putrajaya – “Sambutan Hari Inovasi KEMAS yang diadakan setiap tahun ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi. Inovasi juga menjadi perkara penting yang harus diberikan perhatian dalam pelaksanaan tugasan kerana inovasi mengalakkan daya saing dan mampu memacu kecemerlangan.” YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkata demikian di Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi KEMAS 2019 pada 27 September yang lalu bertempat di Dewan Seri Lestari, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ucapan perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Pengisian Hari Inovasi KEMAS adalah pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) melalui pembentangan projek inovasi yang telah diadakan selama dua hari bermula pada 25 hingga 26 September 2019. Selain itu juga, turut dipertandingkan empat kategori Anugerah Kualiti yang melibatkan semua KEMAS Negeri dan Pusat-pusat Latihan KEMAS.

KEMAS Negeri Johor telah dinobatkan Johan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) menerusi pembentangan projek inovasi bertajuk Block Dressmaking. Selain anugerah tersebut, KEMAS Negeri Johor juga turut memenangi beberapa anugerah lain, antaranya Johan Kategori Pengurusan Sumber Manusia bagi Anugerah Kualiti dan Inovasi, dan tempat Ketiga bagi Kategori Keselamatan Perlindungan. Selain turut merangkul Naib Johan bagi Anugerah Kualiti Kemahiran Pendidikan Literasi Komputer.

KEMAS Negeri Johor merangkul kejuaraan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) bagi edisi 2019

Sebanyak 18 buah kumpulan telah menyertai pertandingan melalui pembentangan hasil inovasi dan kreatif mewakili Negeri, Institut Latihan dan Pusat Latihan masing-masing termasuk kumpulan dari Ibu Pejabat KEMAS.

Pembentangan projek inovasi bagi kumpulan yang bertanding

Dato’ Dr. Ahmad Jailani juga berkata, “Usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterapkan dengan lebih pantas dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Pelaksanaan KIK ini dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian.”

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Dato’ Hajah Norison binti Ramli, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia, Encik Ahmad KamaI Idris bin Mohd Nawawi.

Senarai penuh keputusan:

𝐀𝐧𝐮𝐠𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐢𝐭𝐢 & 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐬𝐢

Kategori Pengurusan Sumber Manusia:
Johan: KEMAS Negeri Johor
Naib Johan: KEMAS Negeri Terengganu
Ketiga: Institut Latihan KEMAS, Kuala Lumpur

Kategori Pengurusan Kewangan & Aset:
Johan: Institut Latihan KEMAS, Kuala Lumpur
Naib Johan: KEMAS Negeri Perlis
Ketiga: KEMAS Negeri Selangor

Kategori Keselamatan Perlindungan:
Johan: KEMAS Negeri Melaka
Naib Johan: KEMAS Negeri Terangganu
Ketiga: KEMAS Negeri Johor

Kategori Pengurusan Pejabat Negeri Terbaik:
Johan: Akademi Kemahiran KEMAS, Seri Iskandar
Naib Johan: KEMAS Negeri Selangor
Ketiga: KEMAS Negeri Perlis

𝐀𝐧𝐮𝐠𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐢𝐭𝐢
𝐊𝐞𝐦𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐋𝐢𝐭𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐨𝐦𝐩𝐮𝐭𝐞𝐫

Johan: KEMAS Negeri Pulau Pinang
Naib Johan: KEMAS Negeri Johor
Ke-3: KEMAS Wilayah Persekutuan
Ke-4: KEMAS Negeri Pahang
Ke-5: KEMAS Negeri Melaka

𝐊𝐨𝐧𝐯𝐞𝐧𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐭𝐢𝐟 & 𝐊𝐫𝐞𝐚𝐭𝐢𝐟 (𝐊𝐈𝐊)

Johan: KEMAS Negeri Johor (Block Dressmaking)
Naib Johan: KEMAS Negeri Terengganu (Galaksi Si Cilik)
Ketiga: KEMAS Negeri Sembilan (D’ Trypod)

Kategori Kostum Terbaik:
KEMAS Negeri Pulau Pinang
(Pes Laksa Mutiara)

Kategori Persembahan Terbaik:
KEMAS Wilayah Persekutuan
(All In One – Selamat, Bersih & Cepat)

Kategori Penghasilan Produk Terbaik:
KEMAS Negeri Kedah
(Piramid KIMI)

Kategori Persembahan Kreatif:
KEMAS Negeri Melaka
(T-Box)

Kategori Projek Berpotensi:
KEMAS Negeri Selangor
(AR Q Bies)

Oleh: Unit Komunikasi Koporat KEMAS

Tahniah Juara Potensi 2019

Program Diploma Perguruan Malaysia Tingkatkan Profesionalime Guru KEMAS

SERDANG – Program pendidikan awal kanak-kanak telah menjadi teras utama dalam agenda pembangunan masyarakat oleh KEMAS disamping program dan aktiviti KEMAS yang lain. Oleh itu, KEMAS terus komited dalam memberi tumpuan yang sewajarnya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan tahap profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA.

Peningkatan tahap profesionalisme dan pemerkasaan Pemaju Masyarakat (guru) KEMAS sama ada TABIKA atau TASKA melalui latihan dalam perkhidmatan yang dilaksanakan secara berterusan akan dapat meningkatkan kompetensi dan kerjaya Pemaju Masyarakat sekaligus dapat melonjakkan usaha kerajaan ke arah kemajuan negara. Lebih dari itu, ianya bertujuan untuk memastikan kualiti sistem penyampaian pendidikan awal kanak-kanak terus berada dalam keadaan yang terbaik dan Pemaju Masyarakat akan terus diberikan dorongan dan motivasi agar dapat memberikan khidmat yang cemerlang dan berprestasi tinggi.

Bermula dari tahun 2006, KEMAS melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan Profesional telah melaksanakan Program Peningkatan Profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dikalangan guru-guru TABIKA dan TASKA KEMAS setaraf diploma yang diiktiraf sama ada melalui Institut Perguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pengajian Tinggi Awam selaras dengan dasar kerajaan iaitu semua guru-guru prasekolah perlu mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2020.

Bagi tujuan itu, KEMAS telah mengadakan kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi melaksanakan Program Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti (KDC). Sehingga kini terdapat seramai 4,250 orang graduan KEMAS telah berjaya menamatkan pengajian manakala seramai 109 orang masih lagi dalam pengajian di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru yang terlibat.

Sebahagian graduan-graduan KEMAS di Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10

Pada 22 Ogos 2019 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-10 Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) bagi pengambilan tahun 2015. Majlis telah diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Majlis Konvokesyen tersebut telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar & Pembangunan Pendidikan).

Dr. Habibah dalam ucapan berkata, “Pemaju Masyarakat perlu sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran yang luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada kanak-kanak agar dapat meningkatkan potensi kanak-kanak untuk mencipta ilmu dan inovasi bertaraf dunia. Segala yang dipelajari hendaklah diamalkan dengan sebaik-baiknya dan mengambil tanggungjawab sebagai pendidik dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan menjadi penghubung antara jabatan dengan masyarakat khususnya ibu bapa dan masyarakat luar bandar amnya.”

Seramai 56 orang pelajar KEMAS yang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti ambilan November 2015 telah berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan Diploma Perguruan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada majlis tersebut.

Oleh: Bahagian Latihan & Pembangunan Profesional KEMAS

TABIKA KEMAS Pintar STREAM – Robotik Dilancar

Kuala Lumpur – “Malaysia hari ini adalah antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi Industri 4.0. Salah satu teras utama dalam revolusi ini adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau A.I yang mana manusia akan semakin bergantung kepada robot pada masa akan datang”. YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian semasa Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertemakan Robotik di TABIKA KEMAS Keramat Nur pada 2 Julai 2019.

Ucaptama oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar di Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertempat di TABIKA KEMAS Keramat Nur, Kuala Lumpur

Dalam usaha menarik minat kanak-kanak terhadap bidang STREAM ini, aplikasi e-STREAM diwujudkan bagi membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS (guru TABIKA) melaksanakan proses pembelajaran dengan lebih interaktif. Ia adalah satu aktiviti pembelajaran yang memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

Teknologi Robotik berupaya melaksanakan kerja yang sama seperti manusia lakukan dalam pelbagai sektor dengan mengurangkan kadar human error bagi memastikan produk yang terhasil adalah yang berkualiti. Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu disediakan dengan perubahan teknologi supaya seiring dengan keperluan semasa.

YB Datuk Seri Rina dalam ucapan beliau berkata, “Perlu untuk kita lebih bersedia dalam menyediakan kanak-kanak kita agar dapat menempuhi dugaan dan cabaran dunia global akan datang. Jika sekarang pun, masyarakat sukar mencari peluang pekerjaan sekiranya tidak memiliki kemahiran, apatah lagi masa depan yang menggunakan strategi luar biasa termasuk penggunaan robotik terutama bagi industri seperti perkilangan dan pertanian.”

 

Tambah beliau lagi, “Personel pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS khususnya perlu disiapkan dengan kemahiran pedagogi terkini yang seiring dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan pendidikan abad ke-21 ini. Pemaju Masyarakat KEMAS berdepan dengan cabaran dari aspek kompetensi dan kesediaan mereka dalam memastikan kanak-kanak hari ini mampu berdepan dengan cabaran mendatang.”

Melalui program STREAM ini, pendidikan yang diketengahkan lebih menjurus kepada pendekatan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif, kreatif, pemikiran kritis dan komunikasi. Ini selaras dengan konteks pendidikan negara kita iaitu Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).

‘Vaccum Ku’ – Kanak-kanak akan meneroka & membuat pemerhatian fungsi pelbagai jenis penyedut hampagas (merekod pemerhatian)

Aspek kreativiti & inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

 

Tema TABIKA KEMAS Pintar STREAM mengikut negeri:

  1. Sarawak – Oil & Gas
  2. Sabah – Marine
  3. Perlis – Agrotechpreneur
  4. Kedah – Eco Education
  5. Pulau Pinang – Aquatic Science
  6. Perak – Aerospace
  7. Kuala Lumpur – Robotic
  8. Selangor – Automotive
  9. Melaka – Aviation
  10. Negeri Sembilan – Safety (Army)
  11. Johor – Astronomy
  12. Pahang – Medical Science
  13. Terengganu – Oil & Gas (Onshore)
  14. Kelantan – Geoscience

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS

Perutusan Hari Pendidik Kemas Tahun 2019 dari Ketua Pengarah KEMAS

PERUTUSAN HARI PENDIDIK KEMAS TAHUN 2019

KETUA PENGARAH KEMAS

Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Luar Bandar Sejahtera

Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik KEMAS yang dikasihi sekalian,

“Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”. Itulah tema Sambutan Hari Guru atau pendidik pada tahun in. Sebenarnya diambil dari sebuah sajak oleh Sasterwan Negara iaitu Dato’ Seri Abdul Samad bin Mohamed Said, atau lebih dikenali sebagai A.Samad Said. Obor itu membayangkan lilin. Obor itu sebagai penyuluh. Hemah itu bermakna sopan santun peribadi guru. Menyinari pertiwi itu, tanah tumpah darah negara kita, negara kita, negeri kita.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Pendidik kepada 14,816 orang anggota KEMAS yang meliputi bidang pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran serta kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya, jasa anda warga Pendidik KEMAS yang begitu besar, budi yang ditabur serta khidmat bakti kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan wang ringgit. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

Hari Pendidik KEMAS yang disambut setiap tahun ini merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga pendidik yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat dari segala dasar, polisi dan inisiatif dari kerajaan.

Warga Pendidik KEMAS bukan sahaja sentiasa berusaha menyediakan kualiti pendidikan prasekolah yang terbaik, malah telah menyediakan kemahiran kepada masyarakat dengan hasrat ianya akan membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui keusahawanan dan perniagaan. Mulianya tugas dan peranan anda sebagai seorang pendidik kerana melalui hasil didikan dan ajaran itulah lahirnya insan yang berpendidikan, berpengetahuan dan berkemahiran.

Saya percaya kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi pada hari ini turut disumbangkan dari ajaran dan didikan sepanjang hayat yang anda telah berikan kepada masyarakat keseluruhannya. Oleh itu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga KEMAS di atas kejayaan yang dikecapi sehingga ke hari ini.

Selamat Hari Pendidik!

Sekian.

Wabillahitawfiq wal hidayah,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

DATO’ AMIRUDDIN BIN ARIFFIN

KETUA PENGARAH

JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS)

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Kursus Pemantapan Organisasi Dan Jatidiri Kakitangan KEMAS (MENJARO) Pengurusan Negeri Dan Daerah (Sabah & Sarawak)

Tarikh : 01 Hingga 03 Mac 2019