Hari Guru 2020 – Perutusan Ketua Pengarah KEMAS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei 2020, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada seluruh Pemaju Masyarakat yang selama ini telah menggembleng tenaga dan mencurahkan kasih sayang dalam mendidik anak-anak bangsa kita.

Bertepatan dengan Tema Hari Guru pada tahun ini “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru” adalah sinonim dengan apa yang saudara dan saudari sedang laksanakan sebagai seorang pendidik sama ada sebagai Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA PERMATA KEMAS mahupun sebagai Pemaju Masyarakat daripada Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran. Begitu juga anda yang mendidik dalam bidang TVET di Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng. Terima kasih saya ucapkan.

Saudara dan saudari hendaklah sentiasa menimba ilmu pengetahuan dan memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan nilai norma yang berteraskan prinsip pembelajaran sepanjang hayat. Seorang pendidik amat berperanan dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Saya sedar, peranan dan tugas seorang pendidik bukan satu tugas yang mudah, namun suka saya ingatkan agar sayangilah pelajar-pelajar seumpama ibu atau bapa kepada mereka dan didiklah mereka dengan baik sehingga menjadi insan yang akan memacu dan menerajui kegemilangan masa hadapan.

Akhir kata daripada saya, semoga saudara dan saudari para pendidik terus menjadi inspirasi kepada generasi penerus bangsa dan terus komited serta berdedikasi dalam mendidik anak-anak bangsa kita.

Sekian, terima kasih.

DATO’ MOHAMAD YASID BIN BIDIN
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)
Kementerian Pembangunan Luar Bandar