Hari Raya Aidilfitri 2020 – Perutusan Ketua Pengarah KEMAS

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar Walillah Hil Hamd!

 

Tuan/Puan yang saya kasihi sekalian,

Alhamdulillah, dengan keizinan-Nya jua pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dengan penuh rasa gembira walaupun pelbagai masalah besar melanda negara kita.

Bersempena bulan Syawal yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat dan seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga kita terus istiqomah dalam mengerjakan ibadah dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T, justeru dapat menjadi insan yang bertaqwa.

Tuan/Puan yang saya hormati, tidak seperti tahun-tahun yang sudah, pada tahun ini kita tidak dapat melakukan aktiviti lazim seperti pulang ke kampung halaman, ziarah menziarahi sesama jiran tetangga dan rakan taulan, berkumpul bersama sanak saudara dan sebagainya. Inilah pengorbanan yang terpaksa kita lakukan bagi memastikan negara kita dapat menyelesaikan masalah COVID-19.

Meskipun norma dan gaya hidup seharian pada ketika ini amat berbeza daripada kebiasaanya, kita masih boleh berhubung dan berinteraksi dengan saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan melalui aplikasi dalam talian seperti aplikasi WhatsApp Video Call, Skype, Zoom, Telegram dan sebagainya untuk kekal berhubung bagi mengeratkan kembali hubungan silaturahim dan saling bermaafan sesama kita.

Akhir kata, sekali lagi saya memohon ampun dan maaf kepada semua warga kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat dan terima kasih atas segala kerjasama dan sokongan padu yang telah diberikan.

 

Syawal dinanti menjelang tiba

Gemersik Takbir meruntun jiwa,

Sekiranya ada salah dan dosa,

Ampun dipinta dihari mulia,

 

Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar Walillah Hil Hamd!

 

DATO’ MOHAMAD YASID BIN BIDIN

Ketua Pengarah

Jabatan Kemajuan Masyarakat

Kementerian Pembangunan Luar Bandar