Askar Cilik TABIKA KEMAS

SEREMBAN – Sekali pandang kelihatan seperti rombongan kanak-kanak sedang teruja melihat pameran kereta kebal tentera.

Namun, sebenarnya kanak-kanak berkenaan berada di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pintar Pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) di Taman Tuanku Jaafar di sini dan sedang mengikuti salah satu modul pembelajaran berteraskan ketenteraan.

Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Mohamad Abu Bakar berkata, menerusi program TABIKA KEMAS Pintar STREAM di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, setiap negeri diminta memperkenalkan modul pembelajaran menerusi 13 tema yang ditetapkan termasuk bidang ketenteraan.

Menurutnya, langkah pembaharuan itu dapat menggalak minat kanak-kanak TABIKA KEMAS melalui pembelajaran secara kolaboratif, kreatif dan pemikiran kritis.

“Disebabkan terdapat banyak kem tentera di Negeri Sembilan, jadi kita pilih modul ketenteraan. Nampaknya ia berjaya menarik minat kanak-kanak, malah ibu bapa juga turut teruja.

“Projek menaik taraf dan membaik pulih kawasan TABIKA ini mengikut modul ketenteraan bermula pada tahun lalu dan kini dalam proses akhir untuk disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, menerusi modul ketenteraan itu, murid-murid tabika berpeluang melakukan latihan asas ketenteraan di kawasan tabika berkenaan.

Menurutnya, bagi merealisasikannya usaha tersebut, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong, Rembau; Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ibu bapa.

“Misalnya, replika kereta kebal ini, kita buat menggunakan barang terpakai dan salah satunya ialah rim tayar kereta. Hasilnya sangat memuaskan dan menarik perhatian.

“Di kawasan luar bangunan pula kita sediakan ruang latihan ketenteraan seperti berjalan atas titian,menyusur di bawah tali dan kita bina kubu menggunakan guni,” katanya.

Mohamad berkata, pembaharuan tersebut secara tidak langsung dapat menjadikan imej TABIKA KEMAS lebih segar sekali gus menjadi pilihan pertama ibu bapa untuk menghantar anak belajar di prasekolah.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/73315/BERITA/Warna-warni-Kehidupan/Askar-cilik-Tabika-Kemas

Semakan Keputusan Sesi Temuduga Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak Februari 2020

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Semakan keputusan sesi Temuduga Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (TABIKA/TASKA) Tahun 2020 yang telah berlangsung pada 22 dan 23 Januari 2020 kini boleh dibuat melalui laman sesawang https://kis.kemas.gov.my/

Sekian, Harap maklum.

 

#kis #kemas4u

𝐒𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭 𝐃𝐚𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐭𝐢𝐡 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮 𝐊𝐞 𝐀𝐤𝐚𝐝𝐞𝐦𝐢 𝐊𝐞𝐦𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐒 𝐒𝐞𝐫𝐢 𝐈𝐬𝐤𝐚𝐧𝐝𝐚𝐫 (𝐀𝐊𝐊𝐒𝐈), 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤

KEMAS diiktiraf sebagai agensi kemahiran kerajaan pertama di negara ini bagi melaksanakan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5.

Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar (AKKSI) akan mula melaksanakan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5 Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian.

AKKSI telah diberi pentauliahan bagi pelaksanaan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5 Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian pada 25 Julai 2019 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

KEMAS adalah satu-satunya agensi kemahiran kerajaan yang mempunyai pusat bertauliah yang melaksanakan SKM Tahap 5.

Pengambilan pelatih DLKM Tahap 5 bermula pada 20 Januari 2020 melibatkan seramai 25 orang. Pendaftaran baharu ini juga melibatkan para pelatih Sijil Kemahiran KEMAS Tahap 2,3 dan 4 Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian.

#imkemas #kemas4u #sentiasadihati #luarbandarsejahtera #DLKM 

Penutupan TABIKA dan TASKA KEMAS Sempena Cuti Tahun Baru Cina

Semua Operasi TABIKA dan TASKA KEMAS di seluruh Malaysia akan ditutup sempena Cuti Tahun Baru Cina bermula

23 Januari 2020 (Khamis) – 27 Januari 2020 (Isnin)

TABIKA dan TASKA KEMAS akan beroperasi semula pada 28 Januari 2020 (Selasa).

 

#iamKEMAS #tabikakemas #taskakemas

KEMAS Negeri Johor Rangkul Johan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif 2019

Putrajaya – “Sambutan Hari Inovasi KEMAS yang diadakan setiap tahun ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi. Inovasi juga menjadi perkara penting yang harus diberikan perhatian dalam pelaksanaan tugasan kerana inovasi mengalakkan daya saing dan mampu memacu kecemerlangan.” YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkata demikian di Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi KEMAS 2019 pada 27 September yang lalu bertempat di Dewan Seri Lestari, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Ucapan perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Pengisian Hari Inovasi KEMAS adalah pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) melalui pembentangan projek inovasi yang telah diadakan selama dua hari bermula pada 25 hingga 26 September 2019. Selain itu juga, turut dipertandingkan empat kategori Anugerah Kualiti yang melibatkan semua KEMAS Negeri dan Pusat-pusat Latihan KEMAS.

KEMAS Negeri Johor telah dinobatkan Johan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) menerusi pembentangan projek inovasi bertajuk Block Dressmaking. Selain anugerah tersebut, KEMAS Negeri Johor juga turut memenangi beberapa anugerah lain, antaranya Johan Kategori Pengurusan Sumber Manusia bagi Anugerah Kualiti dan Inovasi, dan tempat Ketiga bagi Kategori Keselamatan Perlindungan. Selain turut merangkul Naib Johan bagi Anugerah Kualiti Kemahiran Pendidikan Literasi Komputer.

KEMAS Negeri Johor merangkul kejuaraan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) bagi edisi 2019

Sebanyak 18 buah kumpulan telah menyertai pertandingan melalui pembentangan hasil inovasi dan kreatif mewakili Negeri, Institut Latihan dan Pusat Latihan masing-masing termasuk kumpulan dari Ibu Pejabat KEMAS.

Pembentangan projek inovasi bagi kumpulan yang bertanding

Dato’ Dr. Ahmad Jailani juga berkata, “Usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterapkan dengan lebih pantas dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Pelaksanaan KIK ini dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian.”

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Dato’ Hajah Norison binti Ramli, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia, Encik Ahmad KamaI Idris bin Mohd Nawawi.

Senarai penuh keputusan:

𝐀𝐧𝐮𝐠𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐢𝐭𝐢 & 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐬𝐢

Kategori Pengurusan Sumber Manusia:
Johan: KEMAS Negeri Johor
Naib Johan: KEMAS Negeri Terengganu
Ketiga: Institut Latihan KEMAS, Kuala Lumpur

Kategori Pengurusan Kewangan & Aset:
Johan: Institut Latihan KEMAS, Kuala Lumpur
Naib Johan: KEMAS Negeri Perlis
Ketiga: KEMAS Negeri Selangor

Kategori Keselamatan Perlindungan:
Johan: KEMAS Negeri Melaka
Naib Johan: KEMAS Negeri Terangganu
Ketiga: KEMAS Negeri Johor

Kategori Pengurusan Pejabat Negeri Terbaik:
Johan: Akademi Kemahiran KEMAS, Seri Iskandar
Naib Johan: KEMAS Negeri Selangor
Ketiga: KEMAS Negeri Perlis

𝐀𝐧𝐮𝐠𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐢𝐭𝐢
𝐊𝐞𝐦𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐋𝐢𝐭𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐨𝐦𝐩𝐮𝐭𝐞𝐫

Johan: KEMAS Negeri Pulau Pinang
Naib Johan: KEMAS Negeri Johor
Ke-3: KEMAS Wilayah Persekutuan
Ke-4: KEMAS Negeri Pahang
Ke-5: KEMAS Negeri Melaka

𝐊𝐨𝐧𝐯𝐞𝐧𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐭𝐢𝐟 & 𝐊𝐫𝐞𝐚𝐭𝐢𝐟 (𝐊𝐈𝐊)

Johan: KEMAS Negeri Johor (Block Dressmaking)
Naib Johan: KEMAS Negeri Terengganu (Galaksi Si Cilik)
Ketiga: KEMAS Negeri Sembilan (D’ Trypod)

Kategori Kostum Terbaik:
KEMAS Negeri Pulau Pinang
(Pes Laksa Mutiara)

Kategori Persembahan Terbaik:
KEMAS Wilayah Persekutuan
(All In One – Selamat, Bersih & Cepat)

Kategori Penghasilan Produk Terbaik:
KEMAS Negeri Kedah
(Piramid KIMI)

Kategori Persembahan Kreatif:
KEMAS Negeri Melaka
(T-Box)

Kategori Projek Berpotensi:
KEMAS Negeri Selangor
(AR Q Bies)

Oleh: Unit Komunikasi Koporat KEMAS

Penutupan Operasi Pembelajaran di Premis KEMAS

Tahniah Juara Potensi 2019

Program Diploma Perguruan Malaysia Tingkatkan Profesionalime Guru KEMAS

SERDANG – Program pendidikan awal kanak-kanak telah menjadi teras utama dalam agenda pembangunan masyarakat oleh KEMAS disamping program dan aktiviti KEMAS yang lain. Oleh itu, KEMAS terus komited dalam memberi tumpuan yang sewajarnya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan tahap profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA.

Peningkatan tahap profesionalisme dan pemerkasaan Pemaju Masyarakat (guru) KEMAS sama ada TABIKA atau TASKA melalui latihan dalam perkhidmatan yang dilaksanakan secara berterusan akan dapat meningkatkan kompetensi dan kerjaya Pemaju Masyarakat sekaligus dapat melonjakkan usaha kerajaan ke arah kemajuan negara. Lebih dari itu, ianya bertujuan untuk memastikan kualiti sistem penyampaian pendidikan awal kanak-kanak terus berada dalam keadaan yang terbaik dan Pemaju Masyarakat akan terus diberikan dorongan dan motivasi agar dapat memberikan khidmat yang cemerlang dan berprestasi tinggi.

Bermula dari tahun 2006, KEMAS melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan Profesional telah melaksanakan Program Peningkatan Profesionalisme Pemaju Masyarakat TABIKA dan TASKA yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dikalangan guru-guru TABIKA dan TASKA KEMAS setaraf diploma yang diiktiraf sama ada melalui Institut Perguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pengajian Tinggi Awam selaras dengan dasar kerajaan iaitu semua guru-guru prasekolah perlu mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2020.

Bagi tujuan itu, KEMAS telah mengadakan kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi melaksanakan Program Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti (KDC). Sehingga kini terdapat seramai 4,250 orang graduan KEMAS telah berjaya menamatkan pengajian manakala seramai 109 orang masih lagi dalam pengajian di kampus-kampus Institut Pendidikan Guru yang terlibat.

Sebahagian graduan-graduan KEMAS di Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10

Pada 22 Ogos 2019 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-10 Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) bagi pengambilan tahun 2015. Majlis telah diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Majlis Konvokesyen tersebut telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar & Pembangunan Pendidikan).

Dr. Habibah dalam ucapan berkata, “Pemaju Masyarakat perlu sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran yang luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada kanak-kanak agar dapat meningkatkan potensi kanak-kanak untuk mencipta ilmu dan inovasi bertaraf dunia. Segala yang dipelajari hendaklah diamalkan dengan sebaik-baiknya dan mengambil tanggungjawab sebagai pendidik dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan menjadi penghubung antara jabatan dengan masyarakat khususnya ibu bapa dan masyarakat luar bandar amnya.”

Seramai 56 orang pelajar KEMAS yang mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia Mod Kursus Dalam Cuti ambilan November 2015 telah berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan Diploma Perguruan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada majlis tersebut.

Oleh: Bahagian Latihan & Pembangunan Profesional KEMAS

TABIKA KEMAS Pintar STREAM – Robotik Dilancar

Kuala Lumpur – “Malaysia hari ini adalah antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi Industri 4.0. Salah satu teras utama dalam revolusi ini adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau A.I yang mana manusia akan semakin bergantung kepada robot pada masa akan datang”. YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian semasa Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertemakan Robotik di TABIKA KEMAS Keramat Nur pada 2 Julai 2019.

Ucaptama oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar di Majlis Pelancaran TABIKA KEMAS Pintar STREAM bertempat di TABIKA KEMAS Keramat Nur, Kuala Lumpur

Dalam usaha menarik minat kanak-kanak terhadap bidang STREAM ini, aplikasi e-STREAM diwujudkan bagi membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS (guru TABIKA) melaksanakan proses pembelajaran dengan lebih interaktif. Ia adalah satu aktiviti pembelajaran yang memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

Teknologi Robotik berupaya melaksanakan kerja yang sama seperti manusia lakukan dalam pelbagai sektor dengan mengurangkan kadar human error bagi memastikan produk yang terhasil adalah yang berkualiti. Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak perlu disediakan dengan perubahan teknologi supaya seiring dengan keperluan semasa.

YB Datuk Seri Rina dalam ucapan beliau berkata, “Perlu untuk kita lebih bersedia dalam menyediakan kanak-kanak kita agar dapat menempuhi dugaan dan cabaran dunia global akan datang. Jika sekarang pun, masyarakat sukar mencari peluang pekerjaan sekiranya tidak memiliki kemahiran, apatah lagi masa depan yang menggunakan strategi luar biasa termasuk penggunaan robotik terutama bagi industri seperti perkilangan dan pertanian.”

 

Tambah beliau lagi, “Personel pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS khususnya perlu disiapkan dengan kemahiran pedagogi terkini yang seiring dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan pendidikan abad ke-21 ini. Pemaju Masyarakat KEMAS berdepan dengan cabaran dari aspek kompetensi dan kesediaan mereka dalam memastikan kanak-kanak hari ini mampu berdepan dengan cabaran mendatang.”

Melalui program STREAM ini, pendidikan yang diketengahkan lebih menjurus kepada pendekatan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif, kreatif, pemikiran kritis dan komunikasi. Ini selaras dengan konteks pendidikan negara kita iaitu Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).

‘Vaccum Ku’ – Kanak-kanak akan meneroka & membuat pemerhatian fungsi pelbagai jenis penyedut hampagas (merekod pemerhatian)

Aspek kreativiti & inovasi dalam kalangan kanak-kanak melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan sesuatu yang baharu.

 

Tema TABIKA KEMAS Pintar STREAM mengikut negeri:

  1. Sarawak – Oil & Gas
  2. Sabah – Marine
  3. Perlis – Agrotechpreneur
  4. Kedah – Eco Education
  5. Pulau Pinang – Aquatic Science
  6. Perak – Aerospace
  7. Kuala Lumpur – Robotic
  8. Selangor – Automotive
  9. Melaka – Aviation
  10. Negeri Sembilan – Safety (Army)
  11. Johor – Astronomy
  12. Pahang – Medical Science
  13. Terengganu – Oil & Gas (Onshore)
  14. Kelantan – Geoscience

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KEMAS