Pusat Latihan KEMAS, Kuala Lumpur, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur
No. Tel : (03)- 2274 3117 / No. Faks : (03)- 2273 2534
( Pengetua : Harun bin Hashim )
Pengenalan
Pusat Latihan ini telah dibina di atas blok tanah 142 Sect. 69, Jalan Lornie, Kuala Lumpur, pada tahun 1962 dengan kos berjumlah RM 385, 348.20. Pada mulanya dikenali dengan nama Taman Asohan RIDA dan dibuka dengan rasminya pada 4 Jun 1956 oleh Yang Berhormat Y.T.M Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Ketua Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu. Antara fungsi awal penubuhannya ialah "memberi latihan yang sesuai kepada kaum ibu untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan agar bertanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat".
Pada tahun 1963, namanya bertukar menjadi Taman Asuhan Wanita. Pada tahun 1956 ditukar kepada Taman Latihan Wanita dan seterusnya ditukar kepada Pusat Latihan Wanita dan Pembangunan Keluarga pada tahun 1975. Pada tahun 1981 namanya bertukar lagi dan kekal sehingga kini iaitu Pusat Latihan KEMAS Kuala Lumpur. Keperluan fungsinya telah diwarnai dengan perubahan nama menjadikan Pusat Latihan KEMAS Kuala Lumpur sarat dengan fakta sejarah pembangunan agama, bangsa dan negara.
Bermula dengan pengurusan rumah tangga iaitu cara-cara mengasuh anak, mendobi, memasak, menjahit, dandanan diri, menternak dan berkebun bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Kini, Pusat Latihan KEMAS Kuala Lumpur berbangga dengan memberi latihan pra perkhidmatan kepada pegawai dan kakitangan KEMAS terutamanya dalam menangani ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan. Fungsi tradisi memberi latihan asas kepada Pemaju Masyarakat TABIKA diperkembangkan kepada kursus Bina Insan, Kesejahteraan Keluarga (dahulu dikenali sebagai ERT) dan beberapa kursus lain yang telah diaturkan oleh ibupejabat KEMAS. Dengan kemudahan sumber yang ada, peralatan yang berkualiti serta komitmen kakitangan yang tinggi, maka kemampuan untuk mencapai pembangunan sumber manusia yang berkualiti dan dinamik melalui bidang latihan tidak perlu dipersoalkan lagi.
Sejarah Pembinaan
Pada awal pembinaan, ia mempunyai sebuah asrama yang menampung peserta sekitar 80-100 orang pada satu-satu masa. Ia juga dilengkapi dengan sebuah dewan kuliah, rumah pengetua dan 6 unit rumah pekerja. Memandangkan pesatnya keperluan latihan terutama dalam bidang teknologi maklumat, sebuah bangunan tambahan dibina dengan kos berjumlah RM270,000.00 bersambung dengan bangunan asrama. Menempatkan bilik komputer, bilik masakan, makmal pra sekolah dan TABIKA. Bangunan tambahan ini telah siap dibina pada tahun 1993.