Pengenalan Pada 1 April 2002, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penstrukturan baru dengan Waran Perjawatan Bil. E/8 Tahun 2002. Selaras dengan penstrukturan baru tersebut, Unit Gerakan Desa Wawasan telah dinaiktaraf kepada Bahagian. Pada asalnya Unit Gerakan Desa Wawasan merupakan salah satu aktiviti di bawah Cawangan Pembangunan Manusia. Setelah Penyusunan Semula KEMAS, Cawangan Pembangunan Manusia telah dibahagikan kepada tiga (3) Bahagian iaitu Bahagian Pembangunan Desa, Bahagian Bina Insan dan Bahagian Pendidikan Masyarakat. Dengan itu Unit Gerakan Desa Wawasan diletakkan di bawah Bahagian yang baru iaitu Bahagian Pembangunan Desa. Gerakan Desa Wawasan telah diberi nafas baru dan dilancarkan semula dengan pendekatan baru sebagai Gerakan Daya Wawasan. Gerakan Daya Wawasan adalah merupakan sintesis strategik dan penambahbaikan daripada dua pendekatan utama pembangunan luar bandar iaitu Hala Cara Baru Pembangunan Luar Bandar (1984) dan Gerakan Desa Wawasan (1996). Pelancaran Gerakan Daya Wawasan telah dirasmikan oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 26 Julai 2003 di Stadium PUTRA Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Bahagian Pembangunan Desa ini melaksanakan program-program Gerakan Daya Wawasan yang terbahagi kepada dua (2) unit utama iaitu Unit Pembangunan Sosial dan Unit Pembangunan Ekonomi. Projek yang dilaksanakan oleh Bahagian ini tertumpu kepada 6 program utama iaitu Program Mesra Rakyat, Projek Kecerian Kampung, Bantuan Ekonomi Kampung, Latihan dan Bimbingan Usahawan, Program Bakti Siswa Daya Wawasan dan Program Kemerdekaan. |